BML 3073
SOSIOLINGUISTIK MELAYU
TAJUK: PERIBAHASA DALAM MASYARAKAT MELALUI KUMPULAN CERPEN SASTERAWAN NEGARA:
KERIS MAS
KUMPULAN B
DIHASILKAN OLEH :
NAMA
|
NOMBOR MATRIK
|
NUR SYAZWANI BT SOEKAMI
|
D20101037I52
|
MUNIRAH BT ABD RAZAK
|
D20101037088
|
NAMA PENSYARAH:
DR. SITI SANIAH BT ABU BAKAR
TARIKH HANTAR:
MINGGU 8
Tajuk: Peribahasa dalam masyarakat Melayu melalui kumpulan cerpen Sasterawan Negara: Keris Mas
Oleh: Nur Syazwani bt Soekami
Munirah bt Abd Razak
ABSTRAK
Jurnal ini merupakan satu kajian tentang penggunaan peribahasa dalam cerpen-cerpen hasil tulisan Keris Mas atau Kamaludin Muhammad yang merupakan Sasterawan Negara yang pertama. Kajian ini juga ingin melihat sejauh mana peribahasa memberikan pengaruh dalam masyarakat Melayu. Kajian ini turut mengulas tentang fungsi peribahasa, makna peribahasa serta jenis-jenis peribahasa dalam masyarakat alam Melayu. Kajian ini menggunakan kaedah kepustakaan. Sumber utama kajian ini ialah buku Kumpulan cerpen Sasterawan Negara Keris Mas (1946-1989). Fokus kajian tertumpu kepada jenis-jenis pribahasa yang digunakan oleh pengarang dalam penulisan cerpennya. Hasil kajian mendapati bahawa pengarang telah menggunakan sebanyak 22 peribahasa dalam cerpennya. Jenis peribahasa yang paling banyak digunakan ialah perumpamaan iaitu sebanyak 10 perumpamaan, diikuti oleh pepatah dan bidalan sebanyak sepuluh jenis pepatah dan bidalan. Seterusnya ialah simpulan bahasa iaitu sebanyak dua jenis. Melalui kajian ini, dapatlah disimpulkan bahawa peribahasa sememangnya sangat brpengaruh dalam khidupan masyarakat Melayu. Selain penggunaannya dalam karya-karya, peribahasa juga sering diucapkan ktika ingin menyampaikan nasihat ataupun sindiran.
Kata kunci:
Peribahasa: ungkapan bahasa yang digunakan untuk tujuan sindiran dan nasihat.
Makna selapis: makna yang sama seprti dalam ungkapan
Makna dua lapis: terdapat makna lain disebalik ungkapan
Seperti: umpama
Cerpen: cerita pendek
PENGENALAN
Kajian ini merupakan sebuah kajian yang mengkaji unsur-unsur peribahasa yang terdapat dalam masyarakat melalui cerpen karya Sasterawan Negara iaitu Keris Mas. Cerpen yang dikaji merupakan kumpulan cerpen karya Keris Mas selama 43 tahun beliau berkarya. Kumpulan cerpen ini telah dibukukan dan diterbitkan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka.
Keris Mas atau nama sebenarnya Kamaludin bin Muhammad merupakan seorang Sasterawan Negara yang sangat hebat dan berbakat. Beliau telah dianugerahkan sebagai Sasterawan Negara yang pertama pada 26 April 1981. Beliau merupakan anak kelahiran Kampung Ketari, Bentong, Pahang Darul Makmur. Tokoh yang lahir pada 10 Jun 1922 ini merupakan bekas pengarang Utusan Melayu di Singapura dan pernah bekerja sebagai Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera di Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1971-1977. Keris Mas atau Kamaludin Muhammad juga pernah menjadi pegawai penerangan parti PKMM cawangan Pahang di samping menjadi salah seorang pengasas Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50).
Sepanjang penglibatannya dalam dunia penulisan, banyak karya yang telah dihasilkan oleh beliau. Selain menulis cerpen, beliau juga menulis novel. Sebanyak 60 buah cerpen telah berjaya dihasilkan oleh Keris Mas sepanjang penglibatannya dalam dunia kesusasteraan Melayu. Cerpen pertama yang dihasilkan oleh beliau ialah Wasiat orang bangsawan dan telah disiarkan dalam majalah Suluh Malaya tahun 1946. Antara novel yang pernah ditulis sendiri oleh Keris Mas ialah Pahlawan rimba Malaya dan korban kesucian. Sumbangan dan peranan beliau dalam bidang penulisan telah melayakkan beliau untuk menerima beberapa anugerah besar. Antara anugerah yang pernah diterima oleh beliau ialah anugerah Sasterawan Negara, anugerah Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Sains Malaysia (1989), Penulis Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka (1977-1978 dan 1985), Karyawan Seni Universiti Malaya serta anugerah Pejuang Sastera yang dianugerahkan oleh Perdana Menteri pada 29 Mei 1976.
Bercerita mengenai kumpulan cerpen Keris Mas yang menjadi sumber utama kajian ini, buku ini diterbitkan pada tahun 1996 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Buku yang setebal 805 halaman ini mengandungi 76 buah cerpen di dalamnya. Setelah kami membaca buku tersebut, kami dapati banyak unsur pengajaran yang terkandung di dalam cerpen-cerpen Keris Mas. Cerita-cerita yang dipaparkan sangat dekat dengan masyarakat. Antara tema yang sering diketengahkan oleh Keris Mas dalam penulisan cerpen ini ialah tema kasih sayang, pengorbanan, kesetiaan dan perjuangan.
Keris Mas sering mengenengahkan persoalan-persoalan tentang cinta, kepincangan masyarakat, perjuangan kebangsaan, kisah darurat dan persoalan sosial-politik sesudah merdeka. Apa yang nyata ialah persoalan-persoalan dalam cerpen-cerpen yang dihasilkan oleh Keris Mas merupakan pemerhatian dan pantulan kembali pengalaman-pengalaman Keris Mas sejak tahun 1940-an sehinggalah sesudah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.
Keris Mas dilihat sebagai seorang pengarang yang bijak dalam menghidupkan imaginasi. Beliau juga pintar dalam menguasai teknik dan menarik fikiran pembaca terhadap masalah sosial melalui bahasa yang mudah dan jelas. Melihat kepada cerpen-cerpen hasil penulisannya, jelas bahawa Keris Mas adalah individu yang boleh disifatkan sebagai seorang yang tegas, bijak berkata-kata dan luas pengalaman hidup dan pengetahuannya. Beliau meninggal dunia pada 9 Mac 1922.
Meneliti peribahasa-peribahasa yang digunakan oleh Keris Mas dalam kumpulan cerpen ini, Keris Mas ternyata lebih banyak menggunakan peribahasa berbentuk perumpamaan iaitu sebanyak spuluh perumpamaan. Jenis peribahasa yang kedua yang sering digunakan oleh beliau dalam kumpulan cerpennya ialah pepatah dan bidalan iaitu sebanyak sepuluh pepatah dan bidalan yang telah digunakan dan diikuti oleh simpulan bahasa iaitu dua jenis penggunaannya.
METODOLOGI KAJIAN
Kajian ini dilakukan bertujuan untuk mengkaji jumlah dan jenis peribahasa yang telah digunakan oleh Keris Mas serta sebab Keris Mas menggunakan peribahasa tersebut dalam cerpen yang dikarangnya bermula dari tahun 1964 hingga 1989. Sepanjang 25 tahun berkarya, Keris Mas telah menghasilkan lebih 76 buah cerpen. Himpunan cerpennya telah dibukukan dan kebanyakan daripada cerpennya mendapat pujian daripada banyak pihak kerana beliau mengetengahkan pelbagai jenis tema dalam setiap cerpennya. Dalam beberapa cerpennya, Keris Mas juga ada memasukkan unsur peribahasa. Unsur peribahasa yang terdapat dalam cerpen Keris Mas dikaji melalui dua kaedah iaitu kaedah keperpustakaan dan permerhatian. Data yang digunakan untuk membuat kajian adalah daripada buku ‘Kumpulan Cerpen Sasterawan Negara Keris Mas : 1946-1989’. Dalam buku tersebut, terdapat 76 buah cerpen karya Keris Mas yang telah beliau karang semenjak tahun 1946 hingga tahun 1989. Skop kajian yang dijalankan hanyalah tertumpu kepada unsur peribahasa yang digunakan oleh Keris Mas dalam cerpennya. Dalam kumpulan cerpen tersebut, terdapat 22 peribahasa yang telah digunakan. Dalam 22 peribahasa tersebut, pecahannya terdiri daripada pepatah, bidalan, perumpamaan dan simpulan bahasa.
HASIL KAJIAN
Peribahasa menurut Luqman Ariffin dan Abu Khair Atan dalam Abdullah Yusof, Alias Mohd Yatim dan Mohd Ra’in Shaari (2009:106) mencerminkan ketajaman renungan dan pemikiran nenek moyang kita yang membandingkan realiti kehidupan dengan segala gerak laku manusia dan alam sekeliling. Za’ba, seorang tokoh bahasa yang terkenal pula memberikan definisi peribahasa sebagai segala susunan cakap yang pendek yang telah melekat di mulut orang ramai sejak beberapa lama oleh sebab sedap dan bijak perkataannya, luas dan benar tujuannya (Abdullah Yusof, Alias Mohd Yatim dan Mohd Ra’in Shaari 2009:108).
Peribahasa dalam masyarakat Melayu hadir dengan pelbagai fungsi dan tujuan. Peribahasa antara lainnya bertujuan untuk membentuk masyarakat untuk menjadi masyarakat yang lebih baik. Masyarakat dibentuk untuk menjadi masyarakat yang lebih elok lakunya melalui nasihat yang disampaikan dalam peribahasa. Menurut Abdullah Yusof, Alias Mohd Yatim dan Mohd Ra’in Shaari (2009:108), peribahasa sering digunakan sebagai kiasan, teladan dan pengajaran untuk menghiasi sesuatu percakapan atau lisan.
G. Soosai dalam Abdullah Yusof, Alias Mohd Yatim dan Mohd Ra’in Shaari (2009:109) menjelaskan bahawa peribahasa mengandungi kata-kata sindiran tetapi bersifat halus dan maksudnya mudah meresap ke dalam jiwa seseorang. Dengan mudahnya, maksud akan meresap ke dalam jiwa dan timbullah pengajaran kepada seseorang terhadap sesuatu peribahasa yang digunakan. Peribahasa juga dilihat berfungsi sebagai peringatan atau nasihat untuk tujuan kebaikan kepada seseorang. Peribahasa berupaya membawa mesej nasihat tanpa melukakan hati seseorang. Peribahasa juga adalah khazanah warisan Melayu yang menggambarkan kehalusan dan ketertinggian budi masyarakatnya dalam berbahasa.
Dalam masyarakat Melayu, peribahasa dapat dipecahkan kepada beberapa jenis. Jenis-jenis peribahasa menurut Abdullah Yusof Alias Mohd Yatim dan Mohd Ra’in Shaari 2009) ialah simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah dan bidalan. Keempat-empat kelompok ini dikategorikan sebagai peribahasa alam Melayu.
Simpulan bahasa merupakan peribahasa dalam bahasa Melayu yang amat luas penggunaannya dalam kalangan masyarakat Melayu. Simpulan bahasa biasanya dikaitkan dengan alam dan juga benda. Contohnya seperti mulut murai, telinga kuali, anak emas, hati batu dan sebagainya. Kehidupan masyarakat dulu yang sangat dekat dengan alam menjadikan kebanyakan daripada peribahasa Melayu mempunyai kaitan yang rapat dengan alam. Berbeza dengan perumpamaan dan bidalan, peribahasa daripada kelompok simpulan bahasa ini biasanya terdiri daripada dua perkataan sahaja. Contohnya seperti ayam tambatan, labu tanah dan kaki bangku.
Abdullah Hussain dalam Abdullah Yusof ,Alias Mohd Yatim dan Mohd Ra’in Shaari (2009:117) menyatakan bahawa simpulan bahasa ialah perkataan atau kelompok perkataan yang tertentu untuk menyatakan sesuatu maksud lain daripada erti yang lazim.Makna sesuatu simpulan bahasa berbeza sekali daripada makna perkataan yang membentuknya. Simpulan bahasa wujud untuk menyampaikan maksud secara tidak langsung. Menurut Abdullah Yusof, Alias Mohd Yatim dan Mohd Ra’in Shaari 2009:119), makna simpulan bahasa bersifat kolokasi, iaitu yang menunjukkan hubungan kedudukan atau kewujudan antara satu perkataan dengan yang lain dalam satu susunan.
Perumpamaan pula merupakan peribahasa yang mempunyai makna dua lapis (Abdullah Yusof, Alias Mohd Yatim dan Mohd Ra’in Shaari 2009:119). Perumpamaan juga adakalanya disebut sebagai bahasa kiasan atau kias ibarat. Menurut Abdullah Yusof, Alias Mohd Yatim dan Mohd Ra’in Shaari (2009:119) lagi, perumpamaan adalah peribahasa yang menyebutkan sesuatu maksud dengan diumpamakan kepada sesuatu perkara yang sebanding dengannya. Perumpamaan juga kebanyakannya menggunakan perkataan umpama, bak, bagai, laksana, seperti, macam dan seolah-olah pada awal perumpamaan tersebut.
Za’ba dalam Abdullah Yusof, Alias Mohd Yatim dan Mohd Ra’in Shaari (2009:119) membahagikan perumpamaan kepada dua jenis iaitu perumpamaan yang menyebutkan perbandingannya dan perumpamaan yang tidak menyebutkan perbandingannya. Antara contoh-contoh perumpamaan ialah seperti tanduk bersendi daging, ibarat telur sekangkak, pecah sbiji pecah semuanya, seperti tikus membaiki labu dan siapa makan lada dialah yang terasa pedas.
Peribahasa jenis bidalan dan pepatah pula merupakan peribahasa yang terdiri daripada ungkapan-ungkapan yang ringkas lagi bijaksana yang mempunyai makna selapis (Abdullah Yusof, Alias Mohd Yatim dan Mohd Ra’in Shaari 2009:121). Makna selapis yang dimaksudkan ialah apa sahaja yang dikatakan oleh ungkapan-ungkapan dalam bidalan dan pepatah itu, maka itulah maksdunya.
Bidalan biasanya lebih kerap digunakan dan di dalam bidalan juga terdapat perbandingan dan teladan tertentu. Pepatah pula lebih ringkas dan padat (Abdullah Yusof, Alias Mohd Yatim dan Mohd Ra’in Shaari 2009:121).Terdapat juga bidalan dan pepatah yang mempunyai makna dua lapis. Pepatah dan bidalan yang mempunyai makna dua lapis merupakan ungkapan-ungkapan atau perkataan-perkataan yang disusun bukan sekadar satu ayat atau ayat-ayat yang lengkap, tetapi ianya boleh juga wujud dalam bentuk serangkap pantun dua kerat. Selain itu, bidalan dan pepatah juga boleh terdiri daripada tiga baris atau empat baris (Abdullah Yusof Alias Mohd Yatim dan Mohd Ra’in Shaari 2009:121-122). Contoh-contoh pepatah dan bidalan ialah:
Contoh pepatah dan bidalan
|
Klasifikasi
|
biar lambat, asal slamat,
|
Makna selapis
|
bergalah hilir tertawa buaya,
|
Makna dua lapis
|
lain biduk lain digalang,
lain bengkak lain menahan.
|
Dua baris
|
lain padang lain blalang;
lain lubuk lain ikannya;
lain negeri lain adatnya.
|
Tiga baris
|
Walaupun peribahasa terbahagi kepada beberapa kelompok kecil, namun kesemuanya tetap sahaja menjadi khazanah bahasa yang terdapat dalam bahasa Melayu yang tujuannya untuk mendidik masyarakat melalui pesanan yang halus dan berkias.
ANALISIS KAJIAN
Berdasarkan kajian yang telah dilakukan, Keris Mas telah menggunakan empat jenis peribahasa iaitu pepatah, bidalah, perumpamaan dan simpulan bahasa. Kelazimannya, orang Melayu menggunakan peribahasa dalam penulisan kerana mahu menyampaikan sesuatu yang mungkin menyentuh sensitiviti seseorang, namun untuk mengelakkan perkara ini berlaku, penulis menggunakan peribahasa yang mempunyai maksud yang hampir sama dengan perkara yang hendak diperkatakan. Dengan cara ini, penyampaian masej akan menjadi lebih halus dan berseni. Antara peribahasa yang telah digunakan oleh Keris Mas dalam cerpennya ialah :
Pungguk hendak merindukan bulan
“Padan dengan rupamu, pungguk hendak merindukan bulan, kail sejengkal hendak menduga laut yang dalam … “ katanya lalu meninggalkan kami.
Cerpen: Normah yang pemalu (191)
Kain sejengkal hendak menduga laut yang dalam
“Padan dengan rupamu, pungguk hendak merindukan bulan, kail sejengkal hendak menduga laut yang dalam … “ katanya lalu meninggalkan kami.
Cerpen: Normah yang pemalu (191)
Seperti rusa masuk kampung
Tiba-tiba si Aman anak desa itu muncul dengan memegang sebuah bungkusan di tangannya, terdongak-dongak seperti rusa masuk kampung di depan kedai Malbari tersebut.
Bukan kerana dia (305)
Enggang sama enggang, pipit sama pipit
“Memang enggang sama enggang, pipit sama pipit juga jodohnya,” kata emak Aminah menutup perundingan kami yang sunyi itu, dan aku masih teringat bagaimana Aminah mengalirkan air matanya kerana syukur dan sedih yang bercampur aduk.
Bukan kerana dia (313)
Sekilas ikan dalam telaga sudah tentu jantan betinanya
“Kilat cermin ke muka, sekilas ikan dalam telaga sudah tentu jantan betinanya. Apa yang engkau hendak sembunyikan…
Aku karam sendiri (354)
Hidung tak mancung pipi tersorong-sorong
“… kalau kita tanya dengan berterus terang namanya dia lalu marah dan dikatanya saya konon hidung tak mancung pipi tersorong-sorong,” kata Karim membetulkan kesilapannya…
Detektif mata keranjang tertawan (360)
Hidup segan mati tak mahu
Kepada dia sudah terlalu tinggi rasanya pelajaran yang dipelajari oleh Yem kerana harga untuk mendapatkannya dalam masa tiga tahun trsebut telah menyebabkan dia mengalami penghidupan yang ibarat kata pepatah hidup segan mati tak mahu.
Miskin (407)
Seperti anjing berebut tulang
“Mana ada orang boleh hidup dengan tak berbuat macam anjing berebut tulang, siapa kuat dialah dapat”.
Perjuangan perut dan cinta (430)
Bagai isi dengan kuku
Yang menghantarkan dia pergi kepada doktor itu ialah seorang muda sahabatnya, sahabat karib yang sudah sebagai isi dengan kuku dengan dia.
Cerita sepanjang jalan II (461)
Sesal kemudian tidak berguna
Kata orang sesal kemudian tak berguna. Memang tak berguna lagi dia menyesal atas perbuatannya yang sudah-sudah.
Mangsa masyarakat (466)
Kutu embun
Tetapi itu pun tak bagus, kerana bila wang habis, balik juga ke kedai kopi jadi kutu embun.
Cerita sepanjang jalan III (479)
Seperti lebai malang, ayam kalah kampung tergadai
Hilang sebentuk cincin ibunya digadaikan untuk belanja berjalan mencari kerja, dan hilang Yam dari kampung kerana telah pergi bekerja di rumah manager estet, empat batu dari tempat tinggalnya. Betul macam lebai malang, ayam kalah kampung tergadai.
Kejadian di dalam estet (501)
Seperti katak di bawah tempurung
Memang gadis-gadis Melayu yang seperti itu pada pandangan aku masih seperti katak di bawah tempurung.
Nasib kami (450)
Senyum kambing
Penumpang senyum kambing, sangat ganjil nampaknya. Tukang beca semakin tak faham, apa pula makna senyum kambing itu?
Banyak anak (595)
Peribahasa-peribahasa lain yang digunakan dalam kumpulan cerpen ini ialah:
i. Yang tinggi jatuh brguling hancur, yang rendah naik meninggi aman dan damai.
ii. Seperti menangguk di air keruh
iii. Malu-malu kucing
iv. Seperti menatang minyak yang penuh
v. Ibarat benih tidak memilih tanah
vi. Bagai pungguk rindukan bulan
vii. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
Berikut merupakan maksud peribahasa yang digunakan oleh Keris Mas dalam cerpennya serta pembahagian peribahasa mengikut kelompok atau jenisnya.
Pepatah dan Bidalan
PERIBAHASA
|
MAKSUD
|
Pungguk hendak merindukan bulan
|
Tidak sedar diri
|
Kain sejengkal hendak menduga laut yang dalam
|
Tidak sedar diri.
|
Enggang sama enggang, pipit sama pipit
|
Persamaan darjat
|
Sekilas ikan dalam telaga, sudah tahu jantan betinanya.
|
Dapat meneka akan perihal seseorang dengan hanya melihat kepada gayanya.
|
Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong
|
Orang yang suka mencampuri urusan orang lain ; suka menonjol-nonjolkan diri
|
Hidup segan mati tak mahu
|
Hidup dalam kemelaratan, miskin dan selalu sakit-sakit
|
Sesal kemudian tidak berguna
|
Penyesalan setelah sesuatu terjadi tidak berguna lagi kerana masa tidak boleh diputar kembali
|
Malu-malu kucing
|
Berpura-pura malu
|
Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
|
Melakukan sesuatu perkara secara bersama-sama untuk meringankan bebanan.
|
Yang tinggi jatuh berguling hancur, yang rendah naik meninggi aman dan damai
|
Orang yang dulunya berkuasa akan menjadi golongan biasa dan golongan yang dulunya tertindas akan menjadi golongan yang berkuasa.
|
Perumpamaan
PERIBAHASA
|
MAKSUD
|
Seperti rusa masuk kampung
|
Tercengang-cengang kehairanan
|
Seperti kerakap tumbuh di batu
|
Hidup dalam kemelaratan
|
Seperti anjing berebut tulang
|
Orang yang tamak berebut harta
|
Seperti isi dengan kuku
|
Perhubungan yang sangat rapat dan sukar untuk dipisahkan
|
Seperti Lebai Malang, ayam kalah kampung tergadai
|
Kesusahan atau nasib malang yang datang secara brtimpa-timpa
|
Seperti menatang minyak yang penuh
|
Menjaga seseorang dengan penuh perhatian dan kasih sayang.
|
Seperti katak di bawah tempurung
|
Tidak tahu peredaran zaman/ tidak pandai bermasyarakat.
|
Bagai bulan dipagar bintang/ bulan purnama berpagar bintang
|
Wanita yang mempunyai raut wajah yang cantik
|
Ibarat benih tidak memilih tanah
|
Tidak memilih bulu atau kufu
|
Seperti menangguk di air keruh
|
Mencari kuntungan dan kesempatan sewaktu kekacauan sedang berlaku.
|
Simpulan Bahasa
PERIBAHASA
|
MAKSUD
|
Kutu embun
|
Orang yang suka merayau-rayau pada waktu malam tanpa ada sebab dan tujuan yang munasabah.
|
Senyum kambing
|
Senyum sinis
|
Daripada keempat-empat peribahasa yang digunakan oleh Keris Mas, didapati Keris Mas banyak menggunakan perumpamaan, pepatah dan bidalan. Dalam perumpamaan, pepatah dan bidalan tersebut, kesemuanya mengandungi pengajaran tentang kehidupan bermasyarakat. Bidalan yang dipilih dan digunakan juga menggambarkan keadaan sesebuah masyarakan dan seseorang individu yang menjadi salah satu watak dalam cerpennya. Sesungguhnya, kesemua cerita dalam cerpennya adalah berdasarkan kehidupan yang sebenar berdasarkan apa yang dilihat dan berlaku di sekitarnya.
Sememangnya, agak sukar untuk menggambarkan keadaan kehidupan sesebuah masyarakat, tambahan pula semua cerpennya ditulis ketika negara melalui pelbagai fasa perubahan. Oleh itu, beliau menggunakan bidalan untuk menggambarkan keadaan sesuatu masyarakat dengan lebih jelas. Selain daripada bidalan, Keris Mas juga menggunakan perumpamaan dalam cerpennya. Perumpamaan digunakan untuk menggambarkan kehidupan seseorang dan sesebuah masyarakat pada zaman sebelum dan selepas kemerdekaan. Namun, Keris Mas tidak banyak menggunakan pepatah dan simpulan bahasa dalam cerpennya.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, peribahasa ialah satu rangkai kata yang digunakan oleh orang Melayu untuk menyatakan sesuatu perkara, yang berupa kata-kata kiasan atau sindiran. Peribahasa wujud daripada ketajaman renungan dan pemikiran nenek moyang kita yang membandingkan realiti kehidupan dengan segala gerak laku manusia dan alam sekeliling. Oleh itu, peribahasa sangat sinonim dengan orang Melayu. Orang Melayu banyak menggunakan peribahasa bagi menggambarkan sesuatu perkara secara halus dan tidak menyakiti hati sesiapa. Begitu juga dengan penulis cerpen Keris Mas. Beliau banyak menggunakan unsur peribahasa dalam cerpennya. Hal ini bagi mengelakkan timbulnya salah faham antara pembaca dengan maksud sebenar penulis. Selain itu, penggunaan peribahasa dalam cerpen juga dapat mengekalkan identiti penulisan orang Melayu yang lembut dan indah, sarat dengan pengajaran di sebalik kata-kata kiasan dan sindiran yang lembut dan tidak terlalu berterus terang.
BIBLIOGRAFI
Abdullah Yusof, Alias Mohd Yatim dan Mohd Ra’in Shaari (2009). Semantik dan pragmatik bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd.
Abdul Aziz bin Kamaruddin (2008). Latar belakang Keris Mas.
Diperoleh pada April 5, 2013 daripada
http://projeksastera-aziz.blogspot.com/2008/07/latar-belakang-keris-mas.html
Biodata ringkas tokoh. (2010). Diproleh pada April 5, 2013 daripada http://cerpen10.blogspot.com/2010/10/biodata-ringkas-tokoh.html
Keris Mas. (2009). Diperoleh pada April 7, 2013 daripada http://dbp.gov.my/lamandbp/main.php?Content=articles&ArticleID=717
Keris Mas (1996). Kumpulan cerpen Sasterawan Negara Keris Mas 1946-1989. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
No comments:
Post a Comment