Friday, March 29, 2013

Isyarat

Pada hari Jumaat yang lepas, ketika saya duduk di tingkat satu bangunan e-learning, saya telah dihampiri oleh seorang wanita. Pada ketika itu, saya bersama seorang lagi pelajar UPSI yang tidak saya ketahui namanya. Wanita tersebut menghampiri saya dan bertanyakan di mana letaknya bangunan program luar. Menurutnya, bangunan tersebut adalah bangunan kayu.
Sungguh, itulah pertama kali saya mendengar nama bangunan program luar. Sewaktu wanita tersebut bertanya kepada saya, saya hanya terpinga-pinga dan tidak tahu mahu menjawab apa kerana saya memang benar-benar tidak tahu. Kemudian saya cuba menjengah pelajar lain yang duduk dengan saya di situ. Melalui isyarat mata, saya cuba memberitahunya bahawa saya tidak tahu dan meminta bantuannya untuk menunjukkan arah kepada wanita tersebut sekiranya dia tahu. Dia memandang saya dan akhirnya dia memahami isyarat mata yang cuba saya sampaikan kepadanya. Dia akhirnya yang menjawab soalan wanita tersebut dan wanita tersebut langsung bergerak kepada pelajar tadi untuk mengetahui jawapan lanjut.
Rupanya, isyarat mata juga boleh difahami oleh manusia dalam kelompok masyarakat yang sama. Tidak perlu bercakap kerana melalui isyarat-isyarat tertentu atau mimik muka juga orang dapat mengesan apa yang cuba kita sampaikan kepadanya. Namun, bukanlah semua orang dapat menangkap mesej yang cuba kita sampaikan kerana boleh jadi juga orang salah mentafsir mesej tersebut.

Perlahan-lahan

Apa maksud koi-koi? Saya baru tahu ada perkataan ini apabila rakan saya menyebutnya sewaktu kami makan bersama. Saya bertanya kepadanya maksud koi-koi yang disebutkan. Dia menjawab bahawa koi-koi adalah perlahan-lahan. Koi-koi digunakan oleh penutur dialek utara (Kedah). Dia memberitahu saya lagi bahawa koi-koi lebih kepada Siam atau bahasa Thailand.
 Oh barulah saya tahu bahawa koi-koi itu adalah perlahan-lahan. Kalau ditempat saya pula, kami menggunakan perkataan perlahan-lahan dan tidak ada perkataan ataupun istilah lain yang digunakan bagi maksud perlahan-lahan. Negeri tempat saya memang tidak banyak dialek yang ada tidak seprti kebanyakan negeri lain. Kalaupun ada kami lebih kepada bahasa Jawa, Banjar dan beberapa lagi bahasa lain.

Sms

Pernah atau tidak dalam kehidupan seharian kita, kita tidak menggunakan bahasa singkatan atau lebih dikenali sebagai bahasa sms sewaktu menghantar pesanan melalui telefon? Kebanyakannya tidak kerana jarang kita melihat individu yang menggunakan ejaan penuh dalam sistem pesanan ringkas. Sesetengah orang mungkin juga ada yang menggunakan ejaan penuh. Tetapi, bagi mereka yang seperti saya, kebanyakan daripda kami menggunakan ejaan yang serngkas mungkin dan hanya kepada pensyarah ataupun ibu bapa dikampung sahaja yang menggunakan ejaan penuh. Mengapa hal ini berlaku? Ya, kerana kami khuatir jika pensyarah ataupun ibu bapa dikampung tidak dapat memahami mesej yang cuba kami sampaikan. Bila mesej tidak sampai, banyaklah keperluan kami yang tidak dapat dipenuhi. hehe..
Berbalik kepada bahasa sms ini, saya pernah menerima mesej daripada kawan saya. Bunyi mesj itu adalah seperti ini:
# “weh, jp g aq sm5.”
Sm5????
Apabila saya membaca mesej daripada kawan saya, saya pula yang jadi terpinga-pinga kerana tidak tahu apa yang dia cuba beritahu kepada saya. Kemudian, apabila saya telah penat memerah otak untuk mencerna balik apa yang ditulis oleh kawan saya, saya pun membalas mesej tersebut:
# “wey, sm5 tu apa?”
Punyalah moden dan singkatnya ejaan kawan saya itu sehingga saya tidak dapat menangkap maksud sm5 yang ditulis olehnya. Kemudian dia membalas balik:
# “ sampai”.
Erk?? La.. Rupanya sm5 yang ditulisnya tadi adalah ‘sampai’. Fuh.. dahsyat sungguh kawan saya ini bila bab meringkaskan ejaan. Susah juga menggunakan ejaan yang terlalu ringkas ini kerana selalu sahaja orang tidak dapat menangkap perkataan yang ditulis. Jadi, kalau menggunakan ejaan yang ringkas sekalipun, janganlah sehingga bercampur huruf dan nombor. Pening hendak membacanya. Gunalah ejaan yang dapat difahami oleh orang lain.

Ambang atau ambeng?

Beberapa hari yang lalu, saya bersama beberapa orang kawan saya telah makan digerai makan di depan kampus. Pada ketika itu, kami saja bercakap mengenai makanan di negeri masing-masing. Tiba-tiba dia bertanyakan kepada saya bagaimana rupa bentuk dan rasa nasi ambang. Yang mana orang Johor pasti saja tahu tentang nasi ambang kerana nasi ambang adalah salah satu daripada makanan tradisi orang Johor dan kebiasaannya orang Jawa yang mahir membuat masakan ini. Tapi satu yang saya perasan apabila orang yang di luar daripada negeri Johor (masyarakat daripada negeri lain) menyebut nasi ambang. Selalu sahaja mereka menyebut nasi ambang tetapi sebutan yang sebenar adalah nasi ambeng. Ambeng adalah perkataan jawa yang bermaksud,,,
*
*
*
*
*
*
*
*
*
*
*
*
Saya sendiri tidak tahu maksud spesifiknya. hehe… Tetapi seperti apa yang diberitahu oleh ibu saya, ambeng ini adalah satu keadaan yang menunjukkan bahawa makanan yang di isi dalam satu bekas seperti dulang, yang lauk dan nasinya di campur dan kemudian dimakan secara berkongsi atau beramai-ramai.
Berbalik kepada cerita kawan saya tadi, dia juga menyebut nasi ambeng itu sebagai nasi ambang dan saya telah menyatakan kepadanya sebutan yang sebenar yang disebut oleh orang dinegeri Johor. Masyarakat yang tidak hidup dalam kelompok kita biasanya akan nampak janggal sebutan mereka dengan sebutan masyarakat yang hidup dalam kelompok kita.

Hok aloh

'Hok aloh'. Saya pertama kali mendengar perkataan ini daripada Johan raja lawak. Saya minat menonton lawak jenakanya dan oleh kerana itu, saya tahu beberapa perkataan yang sering digunakan dalam lawak-lawak spontannya. Apa yang saya perasan ialah, Johan sering menggunakan perkataan 'hok aloh'. Kalau tidak silap saya, perkataan 'hok aloh' ini berasal daripada dialek pantai timur sama ada Kelantan ataupun Terengganu. Oleh kerana terpengaruh dengan Johan raja lawak, saya juga terikut-ikut menggunakan perkataan 'hok aloh' apabila saya berborak dengan kawan ataupun adik beradik.
Baru-baru ini, drama televisyen yang boleh dikatakan meletup juga iaitu Setia Hujung Nyawa turut menggunakan perkataan 'hok aloh' dalam drama tersebut. Bagi sesiapa yang mengikuti cerita ini pasti sahaja mengenali watak Kak Bedah 'hok aloh' yang dilakonkan oleh Hairul Azreen. Sejak daripada cerita itu, saya rasa 'hok aloh' ini menjadi luas penggunaannya dan bukan kepada penutur di pantai timur sahaja. Sehinggakan, pernah saya membaca di ‘facebook’ ada orang yang menulis tentang fenomena kak bedah 'hok aloh'.
Bagi saya, televisyen adalah salah satu pengaruh yang kuat dalam memperkembang sesebuah bahasa. Lihat sahaja drama-drama Korea yang ada di televisyen. Sesetengah daripada masyarakat kita yang meminati cerita Korea kadangkala dapat mempelajari bahasa tersebut hanya dengan menonoton drama-drama Korea yang ditayangkan di televisyen tempatan. Begitu juga perkataan 'hok aloh' yang dahulunya digunakan di pantai timur kini menular ke seluruh Malaysia. Boleh menjadi fenomena lagi. hehe...

Friday, March 22, 2013

Bahasa rojak

Apa pandangan anda semua tentang percampuran kod dalam bahasa ataupun orang menyebut bahasa rojak? Pada hari jumaat yang lalu (semalam) saya membuka radio dan terdengar lagu daripada sekian penyanyi yang menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam lirik lagunya.

Pada saya melodi lagu tersebut memang sedap dan seronok untuk didengar. Tetapi, mendengar kepada lirik dan seni katanya 'ouh, sangatlah menyayat hati'. Tidaklah menyayat hati sangat tetapi tidak sedap didengar kerana percampuran bahasa dalam lagu tersebut.

Pada pandangan saya, lebih elok rasanya jikalau lirik tersebut dibuat sepenuhnya dalam bahasa Melayu. Bukankah kosa kata bahasa Melayu ada banyak dan kenapa tidak digunakan sahaja? Kalau mahu buat lirik dalam bahasa Inggeris, buatlah sepnuhnya dalam bahasa Inggeris supaya tidak merosakkan bahasa.

# Adakah kita tahu, percampuran kod dalam sesuatu bahasa boleh menjejaskan penguasaan kita terhadap sesuatu bahasa?

P.O.Y.O

Apa yang anda faham dengan perkataan 'poyo'? Apa yang saya faham? 'Poyo' tu lebih kurang macam perkataan bajet iaitu berlagak atau ego dengan kelebihan sendiri. Atau 'poyo' juga selalu dikaitkan dengan orang yang sombong. Namun begitu ada satu cerita disebalik perkataan 'poyo'.
Boleh juga saya katakan ini sebagai ilmu baru bagi diri saya (ilmu ke? Ilmulah tu). Sebelum ini saya cuma tahu perkataan 'poyo' itu untuk makna yang telah saya katakan tadi. Tetapi rupa-rupanya perkataan 'poyo' adalah singkatan bagi sebaris ayat daripada bahasa Inggeris. Sungguh baru saya tahu. Selama ini tahu sebut sahaja tetapi tidak tahu simbolik kepada perkataan tersebut. Sahih atau tidak saya tak pasti tetapi inilah yang diberitahu oleh kawan saya dalam kelas sosiolinguistik yang lepas
Poyo adalah singkatan kepada Proud of Your Own. P=Proud O=of  Y=Your  O=own. Jadilah P.O.Y.O. Saya rasa ada juga benarnya kerana proud of you own itu sama maksudnya dengan 'poyo' yang digunapakai oleh remaja sekarang. Bila dapat tahu, rasa hendak tergelak pun ada juga. Pandai pula orang kita menjadikan sebutannya 'poyo'. Yelah apa tidaknya. Walaupun berasal daripada bahasa Inggeris, tetapi tidak pernah pula saya mendengar orang Inggeris menyebut 'poyo' dalam percakapan seharian mereka.

Bajet (ego)

Bajet pada pandangan umum dan penutur bahasa Melayu adalah perkara yang berkaitan dengan belanjawan dan kewangan. Namun tahukah kita bahawa perkataan bajet juga membawa maksud yang lain? Bagi mereka yang remaja ataupun awal dewasa, mungkin mereka tahu makna lain bagi perkataan bajet. Mereka yang lebih berusia pula mungkin tidak tahu maksud lain disebalik perkataan bajet.
Hari khamis yang lalu, sewaktu dikelas sosiolinguistik Melayu kami belajar mengenai kesetiaan terhadap bahasa dan pensayarah mengaitkan dengan perasaan. Bercakap tentang perasaan tiba-tiba terkeluarlah perkataan bajet daripada salah seorang siswi. Pensyarah menyangkakan kami bercakap mengenai belanjawan tetapi apa yang kami maksudkan dengan perkataan bajet adalah berkaitan dengan perasaan iaitu ego. Bajet seperti apa yang digunapakai oleh golongan remaja dan awal dewasa bagi maksud lain selain belanjawan ialah ego, perasan dan yang sewaktu dengannya. Selalu sahaja remaja gemar menyebut bajet cun, bajet cantik, bajet baik. jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu biasa ialah perasan cantik, perasan baik.
Bajet dan bajet adalah dua perkataan yang sama sebutan dan ejaan tetapi dalam kelompok tertentu boleh membawa dua maksud iaitu bajet belanjawan dan bajet (ego, perasan, terlebih yakin).
#Rupa-rupanya tidak semua orang tahu bajet itu juga digunakan untuk maksud lain selain belanjawan.

Kata sapaan


Kata sapaan? Bagaimana anda memanggil atau menyapa rakan anda? Cuba lihat di bawah yang mana satu gaya anda?
# “Bro, amacam sekarang?”
# “Men, sihat ke?”
# Ok boh.
# “Geng, sihat ke?”
# “Yunk, ok ke?”
# “Bhai, sihak ke?”
# “Beb, sihat ke?”
Perkataan yang telah saya hitamkan itu adalah contoh kata sapaan terhadap kawan-kawan yang digunakan oleh sesetengah kelompok masyarakat dan yang pastinya adalah kalangan remaja dan belia. Ada yang digunapakai mengikut dialek atau sesuatu tempat. Contohnya seperti boh, kebanyakan penutur adalah daripada Kelantan dan Terengganu yang dikatan berasal daripada perkataan bos. Itu dari sudut kelompok tempat. Selain daripada kelompok tempat, kelompok penutur mengikut jantina juga ada seperti apa yang dikatakan oleh rakan-rakan ketika di dalam kelas yang lalu. Lihat di bawah lagi..
# Lelaki: Boh, bro, men, bhai, der, geng, beb
# Perempuan: Yunk, beb
Kalau saya saya biasa mnggunakan beb. Yunk? lain kali boleh juga cuba. haha
Bagaimana dengan anda? Anda boleh pilih yang mana anda suka untuk menggunakan kata sapaan. Namun harus diingat bahawa, penggunaan kata sapaan seperti di atas hanyalah dikalangan kawan-kawan yang anda kenal. Jangan pula gunakan sewaktu bercakap dengan nenek, atuk, ibu dan ayah serta pensyarah anda. Bukan apa, tidak sesuai. Takut sahaja jika lima jari hinggap di muka..
* yunk merupakan singkatan daripada perkataan sayang.

Ya atau ha'ah

Hari isnin yang lalu, saya telah terserempak dengan seorang pensyarah ketika baru habis waktu kuliah. Pensyarah yang pada ketika itu duduk di kerusi di tingkat bawah bangunan e-learning tersenyum melihat kami. Kebetulan pada ketika itu saya sedang berjalan dengan seorang rakan.

Pensyarah: baru habis kelas ke?
Kami: Ha'ah.. (tersenyum dan meneruskan perjalanan)

Selepas daripada itu, saya merasakan bahawa tidak sesuai pula kami menggunakan perkataan ha'ah bagi menjawab pertanyaan pensyarah tadi. Sepatutnya kami menjawab: "ya, kami baru habis kelas". Saya rasa prkataan ha'ah itu kurang sopan kalau saya gunakan sewaktu bercakap dengan orang yang lebih tua apatah lagi dia seorang pensyarah yang wajar kami hormati. Sudahlah kami cuma berkata "ha'ah" kemudian bersalaman dengannya pun tidak kami lakukan. Kami hanya tersenyum dan berjalan walhah kami boleh bersalam kerana pada ketika itu pensyarah tersebut sedang duduk. Bila fikir-fikir balik, 'oh, malunya. Kenapa saya berkelakuan begitu? Sangat tidak sopan dan nampak tidak menghormati pensayrah itu'.

Semoga saya tidak lagi mengulangi kesalahan yang sama. Maafkan kami pensyarah...

Friday, March 15, 2013

Bertanya untuk tahu

Situasi yang seterusnya ini berlaku ketika saya berada di pondok menunggu bas di kampus lama. Sewaktu saya duduk di pondok tersebut, datang seorang rakan yang saya kira bukan daripada Malaysia kerana bahasa yang digunakan seakan-akan bahasa Indonesia. Dia menghampiri saya dan bertanyakan tempat menunggu bas ke Bahtera. Saya mengatakan bahawa di pondok yang kami sedang  duduk itulah tempat menunggu bas ke Bahtera. Perbualan kami tidak terhenti setakat itu. Saya mula bertanya soalan lain kepadanya sekadar ingin menimbulkan suasana selesa antara kami. Dia dengan ramah menjawab setiap pertanyaan saya. Akhirnya, kerana waktu yang tidak mengizinkan untuk saya terus berada lama di situ, saya kemudian meminta diri untuk beredar daripada situ. Dia tersenyum lantas mengucapkan terima kasih kepada saya kerana telah memberitahu kepadanya tempat menunggu bas ke Bahtera. Saya rasa seronok dapat berbual dengannya dan apa yang menjadi pengajaran kepada saya pada hari itu ialah sentiasa bertanya jika tidak tahu ataupun ragu tentang sesuatu perkara.
p/s: Malu bertanya sesat jalan, segan berkayuh perahu hanyut

Beratur

Bas bagi pelajar IPTA mahupun IPTS adalah perkara yang sinonim. Mereka akan menggunakan bas untuk ke kelas ataupun untuk pulang ke kolej. 
Hari rabu yang lalu, saya bersama beberapa orang pelajar  berada di pondok bas menunggu bas datang untuk menjemput kami pulang ke kolej. Hari telah senja dan cuaca juga gelap. Pelbagai ekspresi muka pelajar saya lihat sewaktu menunggu bas. Ada yang hanya diam menunggu, ada yang berkerut kening, ada yang merungut, ada yang sibuk dengan telefon di tangan dan pelbagai lagi gelagat mereka.
Setengah jam menunggu, bas pun tiba. Semua pelajar berpusu-pusu hendak menaiki bas. Ada yang menolak rakan lain dan ada juga yang hampir jatuh kerana berasak-asak ketika hendak menaiki bas. Ada juga yang baik hati memberi laluan kepada rakan yang berada di hadapan dahulu.
Apabila di lihat kembali, budaya sebegini sebenarnya kurang sedap mata apabila memandangnya kerana kita seharusnya beratur ketika hendak menaiki bas. Nasihat ini juga selalu kita lihat di televisyen dan kadang-kadang pada bas juga ditampal nasihat ini. Jadi, kita sepatutnya mengamalkan nasihat yang diwar-warkan bukan hanya memandang nasihat tersebut.

Hormat

Hari khamis yang lepas, saya telah mengirim sepucuk surat kepada sebuah badan kebajikan melalui faks. Oleh kerana saya tiada mesin faks atau lebih tepat lagi saya memang tidak tahu langsung walaupun sedikit cara untuk menggunakan msin faks. Disebabkan itu, saya telah pergi ke kedai komputer yang menyediakan kemudahan faks dan saya meminta bantuan pekerja kedai untuk menolong saya menghantar surat tersebut menggunakan faks.
Sewaktu dia melakukan kerja faks surat tersebut, sempat juga dia bertanya kepada saya kepada siapa surat tersbut saya tujukan. Ada perkara lain juga yang dia tanyakan kepada saya dan dalam masa yang sama saya tertarik dengan tutur katanya. Dia menjaga tutur katanya dan membuatkan saya selesa untuk terus berborak dengannya walaupun dia bukan bangsa Melayu. Sebaik sahaja surat sudah siap saya faks, dia menjelaskan bayaran yang perlu saya bayar juga dengan senyuman dan nada suara yang rendah. Saya berfikir kalau orang yang bukan Melayu juga tahu cara menghormati orang yang bukan dari bangsanya kenapa ada bangsa sendiri yang tidak tahu cara mengormati bangsanya sendiri.
Alangkah baiknya kalau semua orang mengamalkan sikap hormat-menghormati. Barulah kita dapat hidup dalam suasana yang harmoni.

Interaksi dan tindak balas

Terlalu banyak peristiwa yang dialami oleh seseorang walaupun hanya dalam seminggu. Manusia yang hidup bermasyarakat memang tidak pernah lari daripada berbicara dengan orang sekelilingnya.
Pada hari selasa yang lepas, saya telah menelefon ibu saya. Banyak perkara yang kami bualkan di dalam telefon. Antaranya ibu bercerita mengenai anak perempuan abang yang sudah pandai ketawa bila di agah, cerita mengenai adik yang selalu sahaja tidur awal kerana penat bekerja di siang hari, cerita mengenai abang yang bertukar kerja kepada waktu malam dan banyak lagi yang ibu ceritakan mengenai situasi di kampung. Walaupun mata pada mulanya mengantuk, dengar sahaja cerita yang macam-macam terus sahaja  mata yang awalnya mengantuk menjadi segar.
Begitulah apabila kita dapat memahami dan mencerap apa yang disampaikan atau diceritakan oleh orang lain kepada kita, maka kita akan dapat mendengar dan memberi tindak balas yang sepatutnya terhadap penyampaian tersebut. Contohnya seperti apabila orang bercerita perkara yang lucu, kita boleh bertindak balas dengan ketawa, bila cerita sedih kita merasa simpati dan banyak lagi.
Oleh itu, pentingnya kita menumpukan sepenuh perhatian terhadap apa yang sedang diucapkan oleh orang lain kepada kita agar mereka merasa dihargai kerana ada yang mendengar dan bertindak balas terhadap percakapan mereka.

Bergurau

Pada hari isnin yang lalu, saya bersama kawan-kawan dalam perjalanan hendak ke kelas. Sepanjang perjalanan itu, kami telah melewati sebuah lorong yang terdapat kedai di kiri dan kanannya.  Pada waktu itu, kami membawa replika pedang kayu dan beberapa bentuk kon. Daripada jauh kami telah ternampak seorang kanak-kanak lelaki yang berdiri berhampiran kedai di lorong tersebut. Niat di hati kami ingin menegur kanak-kanak lelaki tersebut. Atas rasa hati yang ingin bermasyarakat itu, kami pun senyum kepada kanak-kanak tersebut sambil mengunjukkan pedang kayu yang kami bawa. Niat di hati saja ingin bergurau dan beramah mesra dengan kanak-kanak berkenaan. Namun malang tidak berbau, kanak-kanak tersebut tiba-tiba bertindak agresif. Dia mendekati kami dan memukul kami.
Haiisshh…
Apalagi kami pun berlari dengan membawa pedang kerana takutkan kanak-kanak tersebut. Walaupun pedang di tangan, namun tidak menambahkan keberanian kami terhadap kanak-kanak lelaki yang agresif ini. Benarlah kata orang, sarang tebuan jangan di jolok. Rupanya kami dah silap jolok. haha..
Itulah, agaknya kanak-kanak itu tidak tahu yang kami hanya ingin bergurau dengannya. Pengajarannya, kalau hendak bergurau, lihat dengan siapa kita hendak berbicara. Kalau yang agresif, janganlah berani-berani hendak di kacau. Baik-baik nak bergurau terus jadi kacau-bilau.

Thursday, March 7, 2013

Panggilan dan Gelaran

Apa ada pada panggilan? Panggilan atau gelaran sangat perlu kita jaga apabila bercakap dengan orang lain. Hati-hati terhadap gelaran yang kita berikan terhadap orang lain.
Apabila memanggil abang atau kakak kita, apa panggilan yang sepatutnya? Adakah cukup dengan memanggil nama sahaja? Boleh juga, cuma kurang sopan. Seelok-eloknya panggil mereka dengan abang atau kakak dihadapan nama mereka. Menampakkan yang kita lebih menghormati mereka sebagai saudara yang lebih tua. Namun begitu, mungkin ada di kalangan kita yang lebih selesa dengan memanggil nama sahaja. Kalau anda, mana yang menjadi pilihan? Kalau saya tentulah menggunakan pekataan abang dan kakak. Itu jika gelaran pangkat umur. Jika sebaya pula bagaimana? Jangan sampai tersilap menggelarkan orang yang macam-macam kerana silap gelar buruk padahnya.
Kisah ini pernah berlaku sewaktu saya di alam persekolahan remaja. Maksudnya sekolah menengah lah kan.. Kebetulan, kawan saya yang menerima gelaran tersebut. Hendak dijadikan cerita, rakan saya yang lain telah memanggilnya dengan satu nama kartun yang agak popular. Perkara tersebut kawan saya adukan kepada kakaknya. Akibatnya, kawan saya yang telah menggelarkan dia dengan nama kartun itu dimarahi oleh kakak kawan saya. Selepas daripada peristiwa itu, beberapa hari juga mereka tidak bertegur sapa. Begitulah. Sebenarnya kita harus mengambil berat akan gelaran-gelaran atau panggilan-panggilan yang kita berikan kepada orang lain. Mungkin biasa pada kita tetapi manusia ini hati dan perasaannya tidak sama. Kalau pada kita panggilan yang kita berikan tidak membawa makna apa-apa, tetapi bagi diri mereka mungkin mereka tidak dapat menerimanya. Oleh itu, kawallah pertuturan kita. Jangan sampai bahasa yang digunakan mengoyak perasaan orang lain.
p/s: mengoyak perasaan orang lain sangat berbahaya kesannya. Perkataan mengoyak perasaan yang digunakan adalah pengaruh daripada novel.hehe =)

Assalamualaikum

Kenapa saya memilih assalamualaikum sebagai tajuk saya? Semuanya gara-gara sistem pesanan ringkas atau lebih dikenali sebagai sms atau lebih mudah lagi dipanggil sebagai mesej yang telah diterima. Bukan saya yang menerima mesej tersebut tetapi kawan saya. Saya insan yang lemah ini hanya menumpang sekaki sahaja membaca mesej tersebut. =)

Anda bila marah apa yang anda lakukan? Kebanyakan orang bila marah mudah sahaja menuturkan dan menunjukkan isyarat yang tidak baik. Contohnya:

Woi! Buta ke?
Bongok sangat apehal?
Choii!! Mulut macam longkang.
#macam-macam lagi perkataan yang keluar daripada mulut bila marah.

Kadangkala, perkataan-perkataan yang hendak diluahkan belum sempat dicerna oleh akal bila nafsu amarah menguasai diri. Akhirnya, terlajak kata buruk padahnya. Membebel sudah sekarang tiba pula cerita mengenai mesej yang diterima oleh kawan saya. Tidak menjawab salam atau tidak memberi salam juga boleh terjadi bila seseorang sedang marah. Kerana marahkan kawan saya yang tidak jadi hendak menaiki teksinya, makcik tersebut menghantar mesej yang tiada salam dan tanda noktah. Pening juga kepala hendak mencerna kembali apa yang sebenarnya hendak disampaikan oleh makcik tersebut melalui mesej yang diberikan. Paling tidak pun, letakkan tanda noktah supaya mudah bagi orang yang membaca memahaminya. Bukan apa, takut-takut timbul salah faham bila mesej yang disampaikan tidak dapat difahami. Memberi salam itu sunat manakala menjawab salam pula adalah wajib. Tetapi salam yang diberi tidak dijawab oleh makcik tersebut. Terus sahaja dia memutuskan perbualan. Tak sudi agaknya makcik tersebut menjawab salam daripada kawan saya. Tak mengapalah. Manusia emosinya pelbagai.

Namun, pada saya bagaimana sekalipun kita sedang diasak amarah, kita harus bijak mengawal perasaan. Jangan terbawa-bawa perasaan yang satu itu sehingga menunjukkan sikap kita yang tidak baik.

p/s: sabar itu separuh daripada iman =)

Pengajaran Mikro

Demam pengajaran mikro. Bolehlah dikatakan sebagai satu mimpi ngeri bagi saya dan rakan-rakan semester 6. Kenapa mimpi ngeri? Apa tidaknya, seharian kami memerah otak mengerah tenaga hendak menyiapkan pengajaran mikro satu. Masing-masing masih baru dalam dunia pengajaran dan pendidikan kerana kami baru hendak belajar cara mengajar dalam P&P. Hampir tidak boleh tidur juga kami apabila terpaksa memikirkan apa yang hendak diajarkan kepada rakan sekelas.

Pertama kali melakukan pengajaran mikro satu. Perasaan anda? Gementar, takut, hendak tergelak pun ada juga. Biasalah bila sudah gementar, perkara yang dirancang mudah saja tidak menjadi. Cakap juga tersasul-sasul. Belum lagi melihat wajah rakan yang hendak ketawa sewaktu kita mengajar mereka. Haishh.. haru dibuatnya. Persediaan, dalam apa-apa jua keadaan sangatlah memang penting.

Setelah melihat kembali kesemua pengajaran mikro satu yang telah dirakamkan dan setelah mendapat komen daripada pensyarah, rupa-rupanya terlalu banyak kesilapan yang kami lakukan. Salah satunya ialah penggunaan perkataan 'diaorang', 'kauorang', 'point', 'ok', dan banyak lagi. Itulah, seperti yang saya telah katakan tadi. Apabila rasa takut dan gementar telah merasuk dalam diri, mulalah kami tersasul bicara. Mula-mula sudah berlatih bercakap 'mereka', alih-alih bila mengajar tercakap juga 'diaorang'. Sudah berlatih menggunakan perkataan 'baik', tercakap juga perkataan 'ok'. Parah cikgu-cikgu bahasa Melayu ini. Bagaimana agaknya situasi bila mengajar sebenar nanti?

Mulai hari ini, harus mula berlatih menggunakan perkataan mereka, kalian/ kamu semua, butiran/isi, baik dan banyak lagi lah yang harus saya perbaiki.

Akhir kata : "baik murid-murid". haa.. kan sedap bahasa yang begitu daripada "ok murid-murid". =)

BB1M

Seperti yang semua sedia maklum terutama mereka yang bergelar pelajar, BB1M atau baucer buku satu Malaysia adalah imbuhan yang paling ditunggu-tunggu. Apabila mendengar sahaja yang baucer buku bakal diberikan masing-masing tersenyum gembira sehingga nampak gigi sebaris. Apa-apa pun saya telah 'berjaya' mendapatkan BB1M ini pada hari khamis yang lepas. Mengapa saya menggunakan istilah 'berjaya' kerana masing-masing sedia maklum yang kita perlu berjuang untuk mendapatkan BB1M. Kalau sudah sampai kena berdiri dan menunggu hingga tiga ke empat jam lamanya, itu dikira sebagai berjuanglah kan =).

Namun, apa yang saya tidak begitu berpuas hati adalah layanan kakitangan, pekerja atau tidak kiralah apa jua panggilan mereka, yang ditugaskan untuk mengendalikan pemberian BB1M. BB1M ini saya ambil pada waktu tengahari. Waktu makan, masing-masing mulalah hendak menunjukkan emosi yang macam-macam. Emosi lapar, emosi penat semua saya nampak dalam dewan tersebut. Tiba giliran saya sebagai orang terakhir yang mengambil BB1M pada tengahari tersebut. Sampai sahaja dimeja pembahagian, saya bertanya apa yang perlu saya isi di ruangan kosong yang disediakan kepada kakitangan yang bertugas. Apabila mendengar sahaja saya bertanya, kakitangan tersebut dengan wajah yang masam dan tanpa senyuman menjawab “kan dah ada contoh kat situ, ikutlah macam contoh yang kami beri”. Kus semangat. Hai tanya baik-baik pun kena kias dengan kakitangan tersebut. Saya tahu mereka lapar dan penat. Tetapi, para pelajar juga penat dan lapar. Ada yang belum makan, ada yang kena berkejar untuk ke kelas seterusnya. Kami juga terpaksa berkejar ke sana ke mari kerana masa diperuntukkan untuk mengambil BB1M hanyalah 3 hari.

Jadi, pada pandangan saya, penat atau tidak kakitangan tersebut saya rasa mereka perlu ikhlas sewaktu menjalankan tugas. Kalau mahu menegur atau menjawab soalan daripada pelajar yang tidak tahu, jawablah dengan nada yang elok. Kalau tidak mampu untuk tersenyum pun, cukuplah dengan menjawab menggunakan intonasi atau nada seperti percakapan biasa..Kalau wajah kelat suara marah, kami pun ketar nak tandatangan boring BB1M. Senyum itu sedekah =).

p/s: susah juga hendak bersedekah kan...hehe

Filem

Pada hari isnin yang lalu, saya telah menonton satu filem Melayu yang boleh dikatakan sebagai filem yang popular. Saya tidak pasti pada tahun bila filem ini diterbitkan namun sebagai generasi yang berada di fasa umur akhir remaja filem ini memang menarik. Apa yang mahu saya katakan di sini bukanlah mengenai subjek-subjek yang menarik dalam filem ini tetapi unsur yang saya rasa tidak sepatutnya wujud dalam filem.

Filem seperti yang diketahui umum merupakan wadah hiburan. Wujudnya sesebuah filem itu untuk ditayangkan dengan harapan agar masyarakat dapat mencedok iktibar serta nilai positif yang ada dalam filem-filem tersebut. Namun, tidak semua manusia mahupun masyarakat mampu berfikir atau mengambil apa yang positif daripada filem. Bukan juga Ada juga masyarakat terutama golongan anak remaja yang tidak mampu untuk menilai atau menebak pengajaran di sebalik filem yang mereka tonton. Contohnya seperti filem yang baru saja saya tonton pada isnin yang lalu, di dalamnya terdapat penggunaan kata-kata yang kesat dan tidak baik yang dituturkan oleh watak.

Watak adalah penggerak plot sesebuah drama atau filem. Apa sahaja yang dilakukan mahupun dituturkan oleh mereka menjadi perhatian penonton dan adakalanya menjadi ikutan. Lebih-lebih lagi, bagi filem yang mendapat rating yang tinggi, kata-kata dalam setiap watak mudah sahaja diikuti oleh anak remaja dan kadangkala mereka mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Pada pandangan saya, nilai-nilai yang positif harus diutamakan dahulu agar  anak-anak bangsa mampu mencontohi perkara-perkara yang baik. Mungkin mereka masih hijau untuk meneka pengajaran di sebalik cerita yang ditayangkan. Oleh itu, nilai-nilai yang baik haruslah dititikberatkan terutama dari segi percakapan dalam sesebuah filem. Bahasa-bahasa yang terlampau kesat misalnya 'sial', 'bapak lu', dan sebagainya saya kira tidak wajar wujud dalam skrip drama seseorang watak.
Akhir kata "FILEM KITA WAJAH KITA"..,