Friday, March 29, 2013

Isyarat

Pada hari Jumaat yang lepas, ketika saya duduk di tingkat satu bangunan e-learning, saya telah dihampiri oleh seorang wanita. Pada ketika itu, saya bersama seorang lagi pelajar UPSI yang tidak saya ketahui namanya. Wanita tersebut menghampiri saya dan bertanyakan di mana letaknya bangunan program luar. Menurutnya, bangunan tersebut adalah bangunan kayu.
Sungguh, itulah pertama kali saya mendengar nama bangunan program luar. Sewaktu wanita tersebut bertanya kepada saya, saya hanya terpinga-pinga dan tidak tahu mahu menjawab apa kerana saya memang benar-benar tidak tahu. Kemudian saya cuba menjengah pelajar lain yang duduk dengan saya di situ. Melalui isyarat mata, saya cuba memberitahunya bahawa saya tidak tahu dan meminta bantuannya untuk menunjukkan arah kepada wanita tersebut sekiranya dia tahu. Dia memandang saya dan akhirnya dia memahami isyarat mata yang cuba saya sampaikan kepadanya. Dia akhirnya yang menjawab soalan wanita tersebut dan wanita tersebut langsung bergerak kepada pelajar tadi untuk mengetahui jawapan lanjut.
Rupanya, isyarat mata juga boleh difahami oleh manusia dalam kelompok masyarakat yang sama. Tidak perlu bercakap kerana melalui isyarat-isyarat tertentu atau mimik muka juga orang dapat mengesan apa yang cuba kita sampaikan kepadanya. Namun, bukanlah semua orang dapat menangkap mesej yang cuba kita sampaikan kerana boleh jadi juga orang salah mentafsir mesej tersebut.

No comments:

Post a Comment